Sunday, September 26, 2010

DUA SAMBUTAN YANG BERBEZA!!!

Hari ini saya ikut mama dan abah saya pergi ke sambutan Hari Raya. Pada permulaannya saya agak berat hendak ikut sebab saya 'malas' sikit. Tapi, demi tidak mahu menghampakan ajakan mama dan abah saya pun ikut sama ke sana. Tempat destinasi kami ialah Rawang. Aduhai, mabuk saya dalam perjalanan. Memang hampir-hampir hendak muntah. Dengan gaya abah memandu.....macam dekat litar formula One..hehehe...

Alhamdulillah akhirnya sampai juga ke tempat yang dituju....

Banner yang menyambut kehadiran kami
'Hari Raya Open House' anjuran PERKIM Cawangan Belia. Itulah sambutan Hari Raya yang kami tujui. Saya pernah beberapa kali mengikut kedua ibu bapa saya ke program-program anjuran PERKIM ini memandangkan abah adalah antara orang kuat PERKIM. Apa yang boleh saya katakan, saya sangat-sangat kagum apabila melihat orang Cina memakai tudung, orang Cina memakai songkok, orang bangsa Cina memberi salam,mengucapkan Alhamdulillah dan insyaALLAH.... bukan sahaja orang Cina malah orang bangsa India ada juga.

Ada 3 pengerusi untuk majlis ini.Satu untuk bahasa Melayu, bahasa India dan bahasa Cina. Dan mereka ini disatukan dengan satu aqidah. Berucap menggunakan kata-kata Islam. Subhanallah.... macam yang saya katakan, saya kagum dengan kebesaran ALLAH itu.

Ada juga pelajar ISTAC daripada negara China yang
datang ke Hari Raya Open House ini.

Paling saya suka dengan program kali ini ialah ada sajian daripada masakan orang Cina Muslim yang memasak di tempat situ sendiri. Masakan baru yang pertama kali saya makan. Dan dengan seronoknya saya makan mee (saya lupa nak tanya apa nama mee itu) itu dengan menggunakan Chop Stick.

Ini rupa mee itu. Bila makan panas-panas memang berpeluh
saya bila panas, pedasnya terasa maksimum sungguh.

Sayur ini pun saya suka, masakan Cina

InsyaALLAH nanti saya akan kunjungi kedai masakan Cina Muslim itu iaitu Mohd Chan Kedai Makan Cina Muslim di Taman Melawati untuk merasai masakan-masakan Cina Muslim di sana.

Perkongsian pengalaman mereka yang memeluk Islam itu menginsafkan diri saya....

"Saya memeluk Islam....bukan, bukan. Saya kembali kepada agama fitrah saya 12 tahun yang lepas. Sebelum itu saya mengkaji mengenai Islam. Ramai orang kata kalau masuk Islam ertinya masuk Melayu. Itu salah faham kena kasi ubah. Masuk Islam bukan erti masuk Melayu tetapi masuk kepada agama Islam....mengikut ajaran Islam itu - pengakuan salah seorang yang memberikan ceramah itu. Subhanallah

"Masa saya mula-mula memeluk Islam semua jiran saya pandang serong kepada keluarga saya. Mereka kata, anak siapa yang masuk Melayu itu. Hingga ibu saya selama 3 bulan tidak keluar rumah untuk memotong rambut. Jiran-jiran langsung tidak tegur saya. Tetapi saya bersabar sahaja. Dan Alhamdulillah hari ini bila saya keluar pergi pasar kami semua bertegur macam biasa.Saya bersyukur,"
pengakuan salah seorang lagi.MasyaALLAH

"Perkara yang paling susah untuk saya apabila saya masuk Islam ialah susah saya mahu cari makanan yang sesuai dengan selera saya. Hingga pernah setiap hari saya asyik makan nasi lemak sahaja. Hingga emak saya sendiri merasa pelik. Dan syukur saya apabila hari ini telah ada usaha Restoren Masakan Cina Muslim yang menepati selera orang seperti saya. Halal dan masakan Cina. ALhamdulillah"
tambahnya lagi. ALLAHU AKHBAR....

"Di sini saya ingin berpesan, mengingatkan diri saya dan saudara Cina yang memeluk agama Islam agar sentiasa menjaga tingkah laku masing-masing. Janganlah apabila telah memeluk Islam masih makan di kedai masakan Cina yang tidak halal lagi. Perlu jaga tingkahlaku. Memakai tudung bagi yang perempuan. Kerana kita akan sentiasa diperhatikan oleh kawan-kawan kita yang bukan Islam....,"
tambahnya lagi. Ya ALLAH, pesanan itu seharusnya untuk yang telah lama menganut agama Islam juga. ALLAHU RABB.....

"Nampak bersih je dorang ni ye ,"
Mama berkata kepada saya.


Rupa-rupanya mee yang kami makan itu memang dibuat sendiri seperti dalam gambar yang saya upload ini. Saya mati-mati ingat mereka guna mee maggi sebab memang rasa macam mee maggi. Subhanallah rupa-rupanya mee tu diadun dan direbus kat situ juga. Subhanallah. Memang sedap...sedap sangat....Alhamdulillah.

Disamping itu ada juga disediakan demo kaligrafi cina tetapi ditulis dengan tulisan jawi. Jadi kami ambil kesempatan meminta Encik itu menulis nama abah .....

Sambutan raya beberapa tahun lalu di rumah kami

Dan malam tadi saya sekali lagi pergi ke sambutan hari raya lagi. Kali ini di sebuah masjid yang terletak berhampiran dengan rumah saya. Saya duduk menemani emak saya di meja VIP yang disediakan. Memang ramai yang hadir. Dan meriah dengan kehadiran pelbagai golongan. Tapi....di akhirnya ada perkara yang memeranjatkan saya telah berlaku. Di akhir majlis tersebut, seorang VIP yang dijemput hendak balik. Belum lagi keluar dari Dewan masjid tersebut, VIP tersebut mengeluarkan rokok sambil mengepit di bibirnya. Saya teringat pula ada satu papan iklan di masjid tersebut yang meletakkan bahawa Merokok itu Haram. Memang ada khilaf tentang hukumnya sebelum ini tetapi yang saya dengar-dengar ada ulama yang menjatuhkan hukumnya haram kerana memudharatkan. Itu masih lagi saya boleh berkompromi kerana hukum itu ada kata masih khilaf. Yang saya benar- benar....benar-benar tidak boleh sama sekali saya berkompromi ialah sebelum keluar itu VIP tersebut bersalam-salaman dengan 'ustazah' di situ dan muslimat yang duduk juga di meja VIP satu demi satu.Yang itu memang JELASNYA HARAM.... Emak saya cepat-cepat menarik saya keluar....

Tatkala saya cepat-cepat keluar itu, saya bercakap kepada Mama
"Ala...patut biar je VIP tu hulur tangan dia. Kemudian cakap kuat-kuat....TAK BOLEH SALAM. HARAM. BERDOSA, NANTI MASUK NERAKA,"- pinjam ayat Abdurrahman sekejap (Nanti masuk neraka)

ALLAHU AKHBAR....itulah Dua Sambutan Hari Raya yang sungguh berbeza....

~teringat saya kepada sikap pengetua saya yang sangat-sangat menjaga sensitiviti orang Islam. Semasa memberikan hadiah di hadapan perhimpunan, kepada guru-guru Islam perempuan, pengetua tidak sama sekali menghulurkan tangannya untuk bersalam. Itu sikap pengetua Cina yang bukan beragama Islam...
Semoga ALLAH memelihara kita semua mengamalkan syariat yang terkandung di dalam Islam dengan sebenar-benarnya. AMIN ya ALLAH

Saturday, September 25, 2010

MINGGU YANG SANGAT-SANGAT SIBUK....

Minggu ini memang terasa kesibukkannya. Bila masa sibuk ini baru terasa, kenapa masa dirasakan seperti langsung tidak mencukupi. Ke sana ke mari. Bangun dari tidur terus siapkan kerja-kerja. Tidur kadang kala dengan kerja yang masih terbentang. Adakalanya hingga terbawa-bawa buku-buku bersama-sama. Makan pun teringat kerja. Berjalan pun teringat-ingat kerja. Tapi ALhamdulillah kerana akhirnya semua kerja selamat diselesaikan dengan mengikut masa-masa yang telah ditetapkan. Segala kesyukuran hanya layak diberikan kepada ALLAH semata-mata. Bagi saya, semuanya dengan izin ALLAH atas keizinannya juga.

Dalam minggu ini selepas cuti berhari raya , kami semua para guru-guru perlu menghantar buku-buku kepada pentadbir untuk semua kelas yang kami mengajar. Dalam bulan-bulan akhir sebelum sesi tahun ini berakhir kebanyakan para pelajar ada sindrom 'kemalasan' yang agak luar biasa sedikit. Jadi, tugas kami adalah 'mengejar' pelajar-pelajar ini dengan sekuat kudrat kami agar para pelajar menghantar buku-buku yang telah ditetapkan. Masa inilah tertunjuk, ada yang belum pernah menghantar buku mengikut ketetapan yang ditetapkan oleh guru masing-masing....

"Letih la kalau macam ni. Belum pernah hantar buku pun. Aduhai, nak kena menanda dari awal ni..."


Itulah antara rungutan kami.... hehehe.

Ada juga yang menemani saya semasa saya 'menyiapkan' buku-buku pelajar saya.....

Lihatlah si peneman saya ini. Tapi, tidur atas buku-buku saya

Lenanya.....

Datang yang lagi satu 'konon-konon' nak teman saya

tapi.....tolong gigit pen merah saya

terpaksa lah saya pegang tangannya....

Dan akhirnya ALhamdulillah, saya berjaya menyiapkan kerja ini menghantar kesemua buku-buku pelajar mengikut masa yang ditetapkan. ALLAH yang memudahkan segala urusan....

Selesai sahaja menyiapkan kerja-kerja buku pelajar, saya pula perlu mengulangkaji untuk peperiksaan akhir saya pengajian Sijil Usuluddin yang saya ambil di UM. Sebenarnya saya dahpun belajar-belajar sikit sebelum ini, tapi bila berkejar dengan buku-buku pelajar ini membuatkan saya hold sekejap-sekejap ulangkaji saya. Inilah buku-buku yang perlu saya ulangkaji.... ALhamdulillah saya dapat istiqamah menghadiri kuliah-kuliahnya sebelum ini walaupun memang diakui pernah rasa nak 'rebah' juga kerana masa dan waktu kuliah adalah waktu petang, hujung minggu yang merupakan 'alangkah enaknya berada di rumah'

Boleh dikatakan kuliah yang dibawakan oleh ustaz agak santai sesuai dengan tahap kami yang pelbagai latar belakang dan usia yang berbeza-beza. Secara jujurnya saya tersangat kagum dengan rakan-rakan sekuliah saya yang terdiri daripada mereka yang berusia lebih daripada saya, mungkin 10 atau 20 tahun tua dari saya namun, semangat mereka kental untuk menuntut ilmu. Ada yang tersenguk-senguk mengantuk semasa kuliah. Tidak kurang yang bersemangat bertanyakan soalan-soalan yang mencabar.

Semoga ALLAH memberkati setiap ilmu yang saya perolehi Ya ALLAH, membawa manfaat untuk diri saya amalkan dan untuk saya sebarkan kepada mereka yang berada di sisi saya insyaALLAH....AMIN

~sedihnya, 3 jemputan hari raya tidak dapat saya penuhi...., sebab hari ini saya ada peperiksaan. Mohon maaf telah diberikan. Moga dapat bertemu di kesempatan yang lain insyaALLAH.



Thursday, September 9, 2010

ESOK RAYA ???




"Allah Maha Besar, ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar. Tiada Tuhan melainkan ALLAH. Dan ALLAH Maha Besar, dan bagi ALLAH segala puji"

"ALLAH Maha Besar, dan bagi ALLAH puji banyak-banyak, dan Maha Suci ALLAH pada waktu pagi dan petang. Tiada Tuhan melainkan ALLAH. Kami tidak menyembah selain-Nya dengan ikhlas agama bagi-Nya walaupun dibenci oleh orang musyrik. Tiada Tuhan melainkan ALLAH yang satu,membenarkan janji-Nya , menolong hamba-Nya, memenangkan tentera-Nya dan mengalahkan tentera musuh. Tiada Tuhan melainkan ALLAH dan ALLAH Maha Besar. ALLAH Maha Besar dan bagi ALLAH segala puji."

Yang saya tulis di atas tu adalah maksud bagi lafaz takbir raya. Saya mencari-cari juga cara untuk menaip dalam tulisan arabnya tapi....

Takpe...abaikan.(sebenarnya tak pandai nak buat)

Sebenarnya sebaik sahaja pemberitahuan bahawa hari raya akan jatuh pada hari Jumaat satu zup perasaan sedih terasa dalam hati saya. Saya rasa bukan hanya saya sahaja yang merasai perasaan tersebut malah turut dirasai oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Apa yang terlintas di fikiran saya, masih ada peluangkah saya menemui Ramadhan Karem akan datang ? Jika masih ALLAH memberikan peluang untuk bertemu lagi adakah kondisi kesihatan saya masih baik? Bagaimana dengan kondisi masa saya ketika itu? Bagaimana dengan Ramadhan yang bakal berlalu hari ini? Tiada lagi malam-malam yang dihidupkan dengan solat tarawikh lagi selepas ini. Masjid-masjid mungkin akan sunyi daripada aktivit tadarus seperti yang dijalankan pada bulan Ramadhan Karem ini. Tiada lagi bangun sahur seperti hari-hari biasa. Tiada lagi majlis berbuka puasa seperti hari-hari sebelum ini.... terimbau kembali pada hari pertama 1 Ramadhan....Ya ALLAH cepatnya masa berlalu.....

Adakah terkesan jiwa saya dengan sesi-sesi tarbiyah daripada madrasah Ramadhan Karem ???

Dikhabarkan bahawa jika para sahabat mereka akan berasa sedih dengan pemergian bulan Ramadhan Karem ini. Dan sentiasa membuat penilaian sejauh manakah ibadat puasa dan ibadat-ibadat yang lain yang telah mereka jalankan sebelum ini. Dan perbanyakkan berdoa agar ALLAH menerima amal ibadat dan diampuni dosa-dosa. Amin Ya Rabbal 'Alamin...

Daripada Abu Aiyub al- Ansari r.a : Rasulullah SAW bersabda : Sesiapa yang berpuasa bulan Ramadhan kemudian ia ikuti pula dengan enam hari pada bulan Syawal; nescaya ia mendapat ganjaran puasa setahun," (Muslim)

Maka marilah kita sama-sama memanjangkan puasa bulan Ramadhan kita dengan berpuasa sunat 6 Syawal insyaALLAH. Mudah-mudahan insyaALLAH saya tidak akan terlepas peluang untuk berpuasa sunat sebanyak 6 hari pada bulan Syawal pada tahun ini kerana pada tahun hadapan saya tidak ada jaminan bahawa saya akan bertemu lagi dengan bulan Syawal. Jika ALLAH mengizinkan saya bertemu lagi, saya tidak ada jaminan bahawa saya mempunyai kesihatan yang baik yang memberikan kemampuan untuk saya menunaikan ibadat tersebut juga.

Daripada Abdullah bin Amr r.a , Nabi SAW bersabda: "Berpuasalah pada setiap bulan sebanyak tiga hari, ganjarannya ialah puasa setahun"
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dan mudah-mudahan juga kita dapat beristiqamah untuk menunaikan ibadat sunat puasa pada 3 hari setiap bulan. Ada yang kata hari-hari tersebut dipanggil sebagai hari-hari putih

Abu Dzarr r.a berkata : Rasulullah SAW bersabda : Jika kau puasa tiga hari dalam sebulan, maka puasalah pada tanggal 13, 14,15 pada bulan itu (At-tirmidzi)

Qotadah bin Milhan r.a berkata : Adanya Rasulullah SAW menyuruh kita puasa hari-hari putih iaitu 13,14,15 tiap bulan (Abu Dawud)

Dan insyaALLAH mudah-mudahan kita istiqamah untuk menunaikan ibadat puasa sunat hari Isnin dan hari Khamis insyaALLAH.

Dan jangan lupa bagi yang meninggalkan puasa, jangan lupa segera mengqada'kan puasa ya. Janganlah kita menunggu sehingga saat-saat akhir baru kita hendak mengqada'kan puasa, bimbang jika ada perkara lain pula yang bakal berlaku....

"Cikgu, macam mana ye??? Saya tengah period sekarang. Ada lagi 3 hari saya belum qada' puasa saya tahun lepas"
Ada seorang pelajar perempuan yang agak rapat dengan saya mendekati saya lalu bertanyakan soalan tersebut. Soalannya ditanya kepada saya dan ketika itu, keesokkan harinya merupakan tarikh 1 Ramadhan. Saya beristighfar panjang. Namun saya bersyukur kerana pelajar ini bertanyakan segera soalan ini kepada saya. Kerana jika dia mengabaikan soalan tersebut maka lama-kelamaan makin banyak pembayaran fidyah yang dia kena lakukan.

"Xpe. Nanti lepas Ramadhan ini, awak kena terus ganti puasa yang awak tak sempat ganti tu. Dan awak kena buat pembayaran fidyah. 1 cupak beras untuk setiap 1 hari yang awak tinggalkan. Boleh hubungi pusat zakat atau pun tanya pada masjid-masjid yang berdekatan rumah awak. InsyaALLAH nanti dia tolong. Tapi awak kena ganti cepat tau sebab denda fidyah tu akan berganda kalau awak tak ganti puasa sampai kalau jumpa dengan Ramadhan akan datang pula. "
Terang saya ringkas.

Teringat kepada kuliah Ustaz Irwan di madrasah rumah saya. Ustaz dihubungi oleh seorang wanita bertanyakan mengenai puasanya yang tidak diqada'kan selepas hampir 20 tahun kerana ketika itu dia melahirkan anak. Dan hari itu baru dia menyedari kesilapannya lalu bertanyakan kepada ustaz bagaimana harus dia mengatasinya. Lalu Ustaz Irwan memberikan penjelasan sejelas-jelasnya kepada kami yang mendengarnya. Sayangnya, saya pening dengan pengiraan yang ditunjukkan oleh Ustaz dan kena belajar semula untuk kes ini. Mungkin saya belum pernah berjumpa dengan kes seperti ini sebelum ini.

Dan akhirnya saya mengucapkan Selamat Hari Raya , Maaf Zahir Batin. Moga-moga ibadat kita diterima ALLAH dan segala dosa-dosa kita diampunkan oleh ALLAH SWT. Tepat Maghrib nanti, maka dugaan kita makin besar kerana ketika itu kerana syaitan laknatullah akan kembali semula. Moga-moga ALLAH memberikan kita kekuatan untuk menghadapi hari-hari akan datang.






Monday, September 6, 2010

Hari Ke-27 Ramadhan 1431H

Lama saya tak menulis di blog. Memang sibuk rasanya sebelum ini. Di sekolah dengan pelajar yang mengambil peperiksaan, saya perlu sediakan kertas-kertas peperiksaan dan menanda jawapan-jawapan. Dan akhirnya ALhamdulillah 3 September sekolah berakhir, cuti panjang. Hilang sebentar rasa lelah dalam hati.

Sedar tak sedar dah masuk hari yang 27 Ramadhan dah hari ini.... Sayu saya rasa di hati sebenarnya sebab jika dihitung memang saya rasa banyak kurangnya Ramadhan saya kali ini.... Dan saya benar-benar mengharap ALLAH menerima segala amal ibadah saya dan mudah-mudahan tergolong dalam golongan orang yang bertakwa.

Banyak perkara yang berlaku sepanjang bulan Ramadhan ini....beberapa hari sebelum cuti sekolah tiba-tiba sahaja saya sakit tekak sehingga hari terakhir persekolahan, hari Jumaat suara saya hilang...
"Cikgu , kenapa suara you lain," tanya pelajar seorang, peka dengan perubahan suara saya. Alhamdulillah saya cuma ada dua kelas sahaja hari Jumaat itu. Dua-dua PJK dan saya tidak perlu menggunakan banyak suara kerana hari ini permainan sukan.
"Awak tolong saya ya.... bacakan nama-nama pelajar ini. Saya nak tanda kehadiran mereka," saya meminta bantuan pelajar seorang. Memang suara saya tahap membisik sahaja ketika itu.
Lalu pelajar itu melaungkan nama-nama pelajar yang saya minta itu...
"Jangan kuat-kuat sangat .... satu court ni boleh dengar ni," ketawa pelajar itu apabila saya menegurnya.

Dan akhirnya,loceng terakhir berbunyi, saya tersenyum lega. Cuti yang panjang insyaALLAH mudah-mudahan suara saya akan kembali seperti biasa insyaALLAH. suasana di bilik guru meriah sungguh. Kami semua berpelukan sesama kami,
"Selamat hari raya. Maaf Zahir Batin....Kosong kosong ya," ucapan rasmi kami sesama guru Islam.
Bagi guru yang non-muslim," Happy Holidays"
Dalam kami gembira bersalam-salaman sambil berpelukan sesama kami, tiba-tiba lalu Encik Tan ," Saya tunggu ni siapa yang mahu peluk saya juga"
Ketawa kami di situ juga...."Tak boleh,tak boleh. Lelaki....." balas kami sambil ketawa.

Saya juga masih teringat kepada ceramah yang dibuat oleh pihak panitia Agama Islam pada hari Jumaat itu. Mengingatkan kepada Memburu Lailatul Qadar. 10 malam terakhir adakalanya ramai antara kita tidak ambil pusing dan lebih kepada mood menyambut 1 Syawal daripada merasa sedih dengan pemergian Ramadhan.
"Mungkin kita rasa pelik, kenapa kalau bulan Ramadhan ni kita masih lagi malas nak buat perkara baik. Malas nak beribadat....pada hal bulan tu syaitan semua dah diikat. Tapi kenapa kita masih lagi ada rasa malas dan buat perkara tak baik juga?" persoalan yang ditimbulkan oleh salah seorang guru dalam halaqah kami. Saya kagum dengan cikgu tersebut, cikgu yang mengajar mata pelajaran Sains tapi ilmu agama ada di dada. Kami , guru-guru membuat giliran memberi tazkirah ringkas selepas membuat bacaan yaasin. Dan saya juga turut memberikan sedikit peringatan dalam suara yang serak-serak basah itu.
"Kerana kita ni telah lama dijajah oleh syaitan. Selama 11 bulan sebelum ini kita dijajah oleh syaitan, menyukarkan kita untuk membuang sifat-sifat buruk dalam diri kita. Dan akhirnya susah kita nak memulakan perkara baru semasa bulan Ramadhan ini. Tapi Alhamdulillah kita dah memulakan perkara-perkara baru yang baik-baik insyaALLAH mudah-mudahan kita dapat istiqamah membuatnya sehingga selepas Ramadhan insyaALLAH," dan kami sama-sama mengaminkannya.

"Saya mengingatkan diri kita sama-sama, pelajar-pelajar agar menjaga ibadat-ibadat wajib kita bukan hanya masa bulan ramadhan tetapi juga selepas bulan Ramadhan. Terutama sekali ibadat sembahyang. Sembahyang itu tiang agama dan segala-galanya. Ramai kita hari ini berpuasa tetapi tak sembahyang.Jadi cikgu harap pelajar-pelajar menjaga solat 5 kali sehari dan tidak meninggalkannya," dan saya kagum lagi kepada guru disiplin yang memberikan peringatan kepada kami semua. Subhanallah, lama sebenarnya saya tak dengar peringatan-peringatan di sekolah ini. Alhamdulillah mudah-mudahan majlis-majlis seperti ini adalah pemula dan akan ada penerusnya lagi insyaALLAH.

Dan tanggal 26 Ramadhan, terasa sedih menyelubungi. Tarikh itu merupakan tarikh khatam AL-Quran untuk Ramadhan bagi surau di rumah kami. ALhamdulillah 30 juzu ' bagi mereka yang istiqamah solat tarawikh 20 rakaat penuh dengan imam muda hafiz dari negeri Serambi Mekah itu. Pada rakaat yang ke 20, imam membacakan doa khatam Al-Quran. Ramai yang hadir matanya basah dengan air mata , mengaminkan doa tok imam dan mengharapkan pengampunan daripada ALLAH SWT. Sedih kerana apabila khatamnya 30 juzu' itu menandakan Ramadhan sudah sampai kepada penghujungnya. Dan tahun hadapan masih belum ada jaminan akan bertemu lagi dengan Ramadhan akan datang atau tidak lagi........

Dan malam-malam 10 malam terakhir ini saya berazam untuk menghidupkan malam-malam ini dengan membangunkan malam -malam insyaALLAH. Dan saya juga berdoa agar selepas ini saya akan terus istiqamah untuk menghidupkan sepertiga malam selepas Ramadhan kerana terlalu banyak kelebihan-kelebihannya yang diberitakan oleh ALLAH melalui RasulNYa....

Ada cerita lucu pula untuk dikenang ......
Malam 20 Ramadhan.....
"sahabat...bangunlah 10 malam terakhir ni. Jom kita solat tahajud," Alhamdulillah kami bangun, tetapi syahid selepas solat subuh hingga matahari dah menunjukkan rupa.

Malam 21 Ramadhan.....
"sahabat...bangunlah. Malam lailatulqadar ni. Malam ganjil. Jom solat," Alhamdulillah kami bangun juga, tapi lewat sebab malas malas lagi. Jadi sempat solat sekejap je....

Malam 22 Ramadhan....
"sahabat.....bangunlah. Malam lailatulqadar ni." Tiba-tiba sahabat saya itu ketawa terkekeh-kekeh.... menyebabkan saya pun ketawa pula...."Mana pulak malam ni malam genap" sambung dia. Tetapi...bangun juga solat sunat sekejap sebelum bersahur.

Malam 23 Ramadhan.....
"sahabat....bangunlah. Malam lailatul qadar ni. Jom solat," ....... "Mana pula....hujan la"
T
api kami bangun juga dan sempat solat sunat sebelum bersahur.

Lebih kurang begitulah malam malam seterusnya....

Malam 25 Ramadhan.....
"sahabat, mari sini......"saya memanggil , kuat.
"Cuba tengok langit. Cerah betul lah," saya pelik. memang langit malam tu cerah sangat. Dan saya rasa seram sejuk entah kenapa. Dan kami tak menunggu lama malam itu, entah kenapa memang rasa sejuk semacam. Kami tidur awal, rasa takut entah kenapa. Hp masing-masing membuat alarm.., seawal 3.30 pagi, 4.00 pagi, 4.30 pagi, 5.00 pagi dan paling akhir 5.30 pagi. Mudah-mudahan malam ni terjaga awal sikit untuk bangun Qiyam...
"Sahabat...bangun jom kita qiyam...." saya terjaga jam 3.45 pagi, Alhamdulillah. Tidak saya lupakan banyak membaca doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada Saidatina 'Aisyah , doa ALLAH mengampunkan dosa-dosa.
Moga-moga ALLAH menerima segala amal ibadah kami dan mengampunkan dosa-dosa kami.....turut saya doakan moga selepas ini insyaALLAH saya kuat untuk menghidupkan sepertiga malam-malam....(renungan daripada surah AL Muzammil)

Begitulah malam malam seterusnya....

Ramadhan hanya tinggal beberapa hari lagi....

Saya teringat lagu nasyid dendangan Nazrey Johani , mengenai Ramadhan 2 Zaman....Mari Hayati bersama-sama

Ramadhan 2 Zaman

Album :
Munsyid : The Zikr
http://liriknasyid.com


ramadhan satu nasib tak serupa
peluangnya sama natijah berbeza

ramadhan mereka gembira cemerlang

mukmin berjasa diawal zaman
ramadhan kami malam terbuang
muslim berdosa di akhir zaman

mereka gembira kerana kedatangan mu

kami gembira dengan pemergian mu
malam mereka meriah disimbah nur al quran
tp malam kami muram bertemukan mu

mereka berlumba mengejar makrifat

tp kami lesu diburu nafsu
hati mereka bercahaya digilap takwa
jiwa kami gelap didera dosa

takbir mereka takbir kemenangan

hadiah mujahadah sebulan ramadhan
takbir kami lesu tak bermaya
tanda kalah lemah tak berdaya
puasa sekadar lapar dan dahaga

ADAKAH INI RAMADHAN YANG TERAKHIR....MOGA ALLAH MENGAMPUNI DOSA-DOSA DAN MENGGOLONGKAN DALAM GOLONGAN YANG BERTAKWA....AMIN